Tuesday, March 8, 2011

Komentar dan pandangan sekitar rusuhan di Mesir .

Sebuah artikel yang menarik yang saya petik dari Berita Harian Singapura bertarikh 7 Mac 2011 .
P.S : Aashtak ila Misr wa Ahlaha ..


Peranan Al-Azhar dalam gejolak Mesir
Oleh
Afif Pasuni dan Faeza Abdurazak

PROTES di Mesir dan kejayaan rakyatnya menjatuhkan rejim Presiden Hosni Mubarak yang 31 tahun memerintah turut menyoroti peranan Universiti Al-Azhar di Kahirah, antara institusi pendidikan terkenal di Dunia Islam.

Sedang Al-Azhar menyesuaikan kedudukannya selepas era Mubarak, apakah tindakannya mengilhamkan pelbagai institusi agama agar bertindak serupa di rantau Arab?

Al-Azhar dianggap universiti tertua di dunia (diasaskan pada 969 M) dan juga pihak berwenang bagi kaum Sunni, iaitu majoriti Muslim sedunia. Antara misinya ialah pengajian Islam dengan Dewan Fatwanya bertanggungjawab dalam mengeluarkan fatwa bagi soalan-soalan yang diajukan dari seluruh dunia. Secara amnya, pendapat dan fatwa.

Sejak penubuhannya, Al-Azhar memiliki kebebasan kewangan dan dibiayai dana geran agama (awqaf). Namun, kewibawaannya tergugat sejak dimiliknegarakan pemerintahsekular Presiden kedua Mesir, Gamel Abdel-Nasser, pada 1961.

Fasal 103 Perlembagaan Mesir yang berkaitan dengan pemilihan Sheikh Al-Azhar - jawatan tertinggi dalam institusi tersebut - diubah dengan pelantikan oleh Presiden Mesir. Geran agamanya diperuntukkan sebahagiannya oleh pemerintah dan juga Kementerian Awqaf, yang dibentuk pada 1952.

Kursi Syeikh Al-Azhar perlu mendapat sokongan pemerintah Mesir. Ertinya, penyandang jawatan itu harus mengimbangi tanggungjawabnya sebagai pegawai pemerintah dan alim bebas. Hal ini menyebabkan kalangan pengkritik menyifakan Al- Azhar sebagai 'tidak begitu bebas'.

Ketika gejolak berlaku, Syeikh Al-Azhar, Ahmed Al-Tayyib, amat berhati-hati dalam menyatakan pendiriannya. Sehari selepas Mubarak memberikan pidato di televisyen bahawa beliau tidak akan melanjutkan jawatannya apabila tamat penggalnya, Al-Tayyib mendesak rakyat Mesir supaya mengelakkan keganasan dan pertumpahan darah.

Al-Tayyib turut mendesak dialog antara wakil pembantah dengan pihak pemerintah.

Pendiriannya sejajar dengan kedudukan Sunni klasik - bahawa ketaatan pada pemerintah, walaupun zalim, diutama daripada membiarkan huru-hara berlaku.

Namun pandangannya bertentangan dengan pandangan kalangan ulama Mesir.

Sebagai contoh, jurucakap rasmi Al-Azhar, Mohammed El-Tahtawy Refah, memberi respons terhadap gejolak tadi dengan meletak jawatan dan ikut serta membantah di Medan Tahrir. Laporan-laporan menyatakan beliau menyeru agar siasatan segera dilaksana mengenai korban jiwa dan kecederaan ratusan pembantah.

Barisan Ulama Al-Azhar, sebuah kumpulan yang ditubuh pada 1940- an dan menentang pendapat dan fatwa pimpinan Al-Azhar yang dianggap bersifat propemerintah, menerbitkan kenyataan keras terhadap Encik Mubarak dan menyeru pengundurannya.

Sebelum prletakan jawatan Encik Mubarak, bekas pelajar Al-Azhar, Muhammad Jebril, yang juga seorang alim terkenal, memimpin solat Jumaat di Medan Tahrir. Lebih dari itu, siswazah Al-Azhar dan tokoh agama ternama, Dr Yusuf Al-Qaradawi, yang lama bersuaka di Doha, Qatar, kembali ke Mesir untuk memimpin solat Jumaat di Medan Tahrir seminggu selepas peredaran Encik Mubarak.

Beliau pengkritik terhadap Al- Azhar - baik dari segi struktur pendidikan mahupun pergantungan institusi tersebut pada kewangan daripada pemerintah. Namun beliau juga seseorang yang identiti Azharinya cukup menonjol. Beliau lantang dalam sokongannya pada pemberontakan di Tunisia, Mesir dan baru-baru ini, Libya.

Penentangan kuat para Azhari terhadap kepimpinan Al-Azhar, khususnya peletakan jawatan El-Tahtawy, menunjukkan perbezaan pendapat dan bantahan di kampus terhadap pendirian institusi itu yang dianggap lemah.

Hal ini juga memaparkan beberapa pergeseran antara pihak pimpinan dan mereka yang berada di peringkat bawah hirarki. Kalangan individu terkemuka Al-Azhar yang tidak setuju terhadap tunjuk perasaan di Mesir termasuk Saeed Amer, Ketua Dewan Fatwa Al-Azhar.

Namun pendapat tersebut dinafikan dengan imej media yang menunjukkan para sarjana Al-Azhar menunjuk perasaan di Medan Tahrir dengan pakaian tradisional jubah kelabu dan serban putih-merah mereka.

Setelah kejatuhan Encik Mubarak, ada para sarjana Al-Azhar berkumpul di hadapan Kementerian Awqaf menuntut agar jawatan Syeikh Al-Azhar ditentukan berdasar pemilihan (election) dan bukan pelantikan presiden sebagaimana yang berlaku sebelumnya.

Dalam satu sidang akhbar, Syeikh Al-Tayyib menyokong permintaan itu dan menyatakan kesediannya dengan pemilihan jawatan Syeikh. Beliau juga membela kedudukan Al-Azhar sebagai tulen dan tidak dicemari politik, dan menyatakan bahawa institusi tersebut ditempatkan 'di atas pemerintah dan revolusi'.

Dengan kejayaan rakyat Mesir menumbangkan rejim Encik Mubarak, kini terbentang masa baik dan menarik untuk melihat corak perubahan dalam institusi Islam yang dihormati itu mempengaruhi rantau Timur Tengah yang pesat berubah.

Tanda-tanda awal menunjukkan ke arah perubahan; Al-Tayyib sendiri menyatakan bahawa waktu-waktu terdekat ini akan menyaksikan 'pidato agama lebih bebas'.

Al-Azhar seharusnya mencorakkan kembali masa depannya bak dilalui rakyat Mesir, dan kembali teguh dalam memori kolektif umat Islam dengan menyemarak kesarjanaan unggul untuk diperluas dan dikembangkan.

Penentangan terbuka ulama pada umumnya jarang berlaku di Dunia Arab. Bagaimanapun, tsunami kebangkitan telah memberi semangat baru kepada orang ramai, termasuk ulama.

Trend serupa berlaku di bahagian lain rantau itu. Di Libya, misalnya, para pemimpin agamanya di bawah Rangkaian Ulama Bebas Libya telah mengeluarkan fatwa agar orang Islam menolak kepimpinan di Libya dan menuntut pembebasan semua penunjuk perasaan yang dipenjara.

Andai pemberontakan rakyat berjaya, lembaga seperti institusi agama akan terlepas daripada cengkaman dan pengaruh pihak penguasa. Dengan demikian, perubahan kedudukan Al-Azhar mungkin mendorong perubahan serupa di negara Arab lain.

Nota: Afif Pasuni zamil madya penyelidikan di Sekolah Pengajian Antarabangsa S. Rajaratnam (RSIS), Universiti Teknologi Nanyang (NTU) dan lulusan Universiti Al-Az har. Faeza Abdurazak lulusan RSIS dan pembantu penyelidikan di Institut Timur Tengah (MEI), Universiti Nasional Singapura (NUS).

No comments:

Post a Comment