Artikel dipetik dari Berita Harian Singapura bertarikh 21 Februari 2011 . Alquran dan sains , Al-Quran membenarkan sains dan bukan sebaliknya .
P.S : Saya sedang berusaha ke arah ini =)
Amin !
Berdakwah menerusi sains
Oleh A. Rahman Basrun
LAZIMNYA, dakwah dan sains sukar dikaitkan. Namun, bagi Yayasan Harun Yahya yang berpangkalan di Turkey, ia perkara biasa.
Badan bukan pemerintah (NGO) yang ditubuhkan di Istanbul pada 1990 itu kini dianggotai sekitar 300 karyawan - termasuk saintis, jurutera dan doktor.
Misi mereka? Menyebarkan tentang ratusan keajaiban sains yang terdapat dalam Al-Quran - berdasarkan karya-karya akademik, Adnan Oktar (atau nama gelarannya, Harun Yahya), penulis Muslim terkenal sedunia.
Baru-baru ini, dua anggota yayasan itu - Dr Ahmet Oktar Babuna, 47 tahun, pembedah saraf; dan Dr Cihat Gundogdu, 42 tahun, doktor keluarga - diundang Persatuan Darul Arqam Singapura ke Singapura selama hampir seminggu untuk menyampaikan satu siri syarahan.
Turkey menjadi negara sekular sejak kejatuhan Dinasti Uthmaniyah pada 1923. Dengan 78 juta penduduk (majoriti Muslim), ia kini dianggap ekonomi sederhana yang berpotensi besar dan antara yang termaju dalam Dunia Muslim. Ia mempunyai jumlah saintis dan jurutera yang terbesar di kalangan negara majoriti Muslim.
Sejak diperintah oleh Parti Keadilan dan Pembangunan pimpinan Perdana Menteri Recep Tayyip Erdogan pada 2003, Turkey melalui pembangunan pesat, terutama dalam bidang sains dan teknologi.
Berikut sedutan perbualan saya dengan mereka:
S: Saya dapati kian menjadi trend bagi orang Islam sekarang memanfaatkan sains untuk membuktikan kesahihan Al-Quran. Misalnya, dalam soal 'Big Bang Theory' (Teori Ledakan Besar), yang mengatakan bahawa alam semesta ini tercipta daripada satu ledakan. Pakar-pakar Islam telah menukil ayat 81 dan 82 Surah Yasin dan ayat 30 Surah Al-Anbia sebagai menyokong dapatan itu.
Soalan saya, apa jadi jika teori sains yang kita sebagai Muslim sokong kini dengan aya-ayat Al-Quran terbukti silap kelak? Tidakkah ini akan memburukkan imej Al-Quran dan Islam?
Dr Ahmet: Mempercayai keajaiban saintifik Al-Quran bukanlah fardu. Jika kita tidak percaya padanya, kita tetap Muslim.
Namun, bukan satu dua, bahkan terdapat ratusan ayat di dalam Al-Quran yang begitu jelas dan terperinci selaras dengan dapatan sains terkini, termasuklah 'Big Bang Theory', pengembangan alam semesta, kitaran hujan dan pengasingan air dua laut yang bertembung.
Bahkan, pernah seorang pakar janin bukan Islam, Keith Moore, yang mengarang adikarya tentang perkembangan bayi dalam rahim, The Developing Human, sendiri mengakui betapa isi kandungan Al-Quran begitu tepat dengan dapatan-dapatannya sendiri.
S: Tetapi, banyak dapatan sains adalah hasil saintis bukan Islam.
Dr Cihat: Sebenarnya, terdapat zaman gemilang sains Islam, iaitu pada kurun kelapan dan kesembilan.
Saintis Islam seperti Ibnu Sina dan Al-Khindi begitu menyerlah dalam bidang-bidang termasuk perubatan, matematik, kimia dan astronomi. Mereka menuruti anjuran Al-Quran untuk menyelidik alam.
Penemuan mereka kemudian menjadi ikutan dan inspirasi bagi saintis-saintis Barat berkurun lamanya.
Sayangnya, selepas mereka, tamadun sains merosot di kalangan umat Islam. Ini bukan salahnya Islam sendiri kerana Islam sebagai agama menyokong dan menyeru penyelidikan sains.
S: Jadi apakah masalahnya? Kenapakah umat Islam kini tidak gigih menyelidik rahsia-rahsia sains dalam Al-Quran sebagaimana ulama terdahulu?
Dr Ahmet: Ini kerana yang menguasai dunia sains kini adalah golongan bukan Islam. Kita setakat mencedok ilmu sains dari Barat, yang kebanyakannya bukan Islam.
S: Jadi bagaimanakah dapat umat Islam menguasai dunia sains?
Dr Ahmet: Pertama-tama, kita tidak memilih dalam soal menimba ilmu. Sebagaimana sabda Nabi Muhammad saw, kejarlah ilmu walau di China sekalipun, Jadi, jika ilmu sains itu terletak di China, kita timba juga.
Kedua, ratusan ayat Al-Quran menyeru kita sebagai umat Islam agar membuat penyelidikan. Ini tentu memerlukan sains sebagai wadah.
Misalnya, Allah menyeru kita memerhatikan langit. Untuk tujuan itu, kita perlukan teleskop.
Dr Cihat: Allah juga menyeru kita supaya melihat kejadian dalam tubuh badan kita sendiri. Ini hanya boleh kita lakukan dengan mikroskop khas dan pengajian seperti mikrobiologi.
Dr Ahmet: Bayangkan jika umat Islam yang menguasai perkembangan sains, pasti wajah sains jauh berbeza hari ini.
Misalnya, pernah satu tengkorak dipamerkan di muzium Britain kerana kononnya ia menjadi bukti kaitan evolusi antara kera dengan manusia.
Selama lebih 40 tahun, sebanyak 500 buku, rencana dan tesis ditulis tentangnya. Sayangnya, tengkorak itu pada akhirnya didedahkan sebagai palsu, satu penipuan. Kerananya, dunia sains kerugian bertahun-tahun dan berbilion dolar penyelidikan.
Sebaliknya, jika umat Islam yang berada di teraju, pasti usaha sedemikian tidak akan diteruskan atas dasar kepercayaan bahawa manusia dan makhluk lain diciptakan bukan menerusi proses evolusi.
Misalnya, Nabi Musa as dihantar Allah kepada Firaun yang mengaku dirinya tuhan. Tongkat yang dilemparkan Nabi Musa terus bertukar menjadi ular yang menelan segala ular palsu jelmaan tukang sihir Firaun.
Nabi Isa pula dengan izin Allah menghidupkan segumpal tanah menjadi burung dengan serta-merta.
Sebaliknya, Al-Quran juga menyebut Allah menciptakan malaikat, jin dan bidadari syurga - semuanya bukan melalui evolusi.
Kesemua itu antara dalil dalam Al-Quran yang tidak menyokong teori evolusi. Bahkan, secara saintifik, hingga sekarang pun, daripada jutaan fosil yang ditemui, tidak satu pun dapat membuktikan evolusi.
S: Adakah Yayasan Harun Yahya mempunyai saintis yang membuat penyelidikan berdasarkan ayat-ayat Al-Quran?
Dr Ahmet: Ya, Harun Yahya bekerjasama dengan cendekiawan di seluruh dunia dalam usaha tersebut.
S: Tampak sains perihal kejadian begitu penting, tetapi saya tidak nampak ia diajar di institusi pengajian tinggi.
Dr Cihat: Tidak juga. Buku-buku Harun Yahya terdapat dalam kurikulum di negara seperti Qatar dan Indonesia. Pun bahan karangan Harun Yahya mudah didapati dari laman webnya di Internet (www.harunyahya.com ).
Kami berdua di sini hanya beberapa hari, menyampaikan enam hingga lapan syarahan sahaja. Masyarakat di sini memerlukan lebih daripada itu. Andalah yang harus meneruskan usaha dakwah kami itu.
No comments:
Post a Comment